Emas
Emas ialah unsur kimia dalam jadual berkala yang mempunyai simbol Au (L. aurum) dan nombor atom 79. Emas adalah logam berharga yang dicari-cari untuk syiling, barang kemas dan hasil seni lain sejak zaman dahulu lagi. Logam ini secara asli boleh didapati dalam bentul ketulan nuget atau butir kecil dalam batuan, atau mendapan aluvial. Kadang-kadang ia juga boleh didapati dalam sebatian emas selalunya dengan tellurium. Logam emas adalah padat, lembut, berkilat, dan logam asli yang paling mudah ditempa dan mulur. Emas tulen mempunyai warna kuning terang dan dianggap menarik dan warna ini kekal tanpa mengalami pengoksidaan udara atau air. Emas adalah logam yang dibuat syiling dan berfungsi sebagai simbol kekayaan dan penyimpan nilai sepanjang sejarah manusia. Standard emas telah menyediakan asas untuk dasar kewangan. Ia juga telah dikaitkan dengan pelbagai simbolisme dan ideologi.
Sebanyak 165,000 tan emas telah dilombong dalam sejarah manusia pada tahun 2009.Ini lebih kurang sama dengan 5.3 bilion ons troy atau, dari segi isipadu ialah sekitar 8.500m³. Penggunaan emas baru di dunia adalah sekitar 50% sebagai barang kemas, 40% pelaburan, dan 10% dalam industri.